TASSAWWUR ASAS ILMU QIRAAT.
Pengertian:
Ilmu Qiraat merupakan salah
satu daripada ilmu-ilmu asas di dalam memahami cara bacaan yang Mutawatir
daripada Rasulullah S.A.W yang diambil oleh para sahabat baginda secara Talaqqi
dan Musyafahah secara langsung daripada Baginda S.A.W dan diambil oleh
rasulullah secara talaqqi dengan jibril A.S.
Ilmu ini amat berkaitan dengan
bahasa serta penggunaan kalimah al-Quran kerana ia berkisar pada perubahan
baris, perubahan harakat, al-Naqlu, al-Ibdal, hazaf dan ithbat dan sebagainya.
Pengertian daripada sudut bahasa:
Qiraat jama’ kepada
Qiraah قراءة , dan Qiraah itu
masdar Fe’el (قرأ يقرأ قراءة وقرآنا فهو قاريء
وهم قراء وقارئون )
Ianya merujuk kepada kumpulan ( الجمع ) dan
perkumpulan (
الإجتماع)
Sebahagiannya mengatakan ianya
al-Quran, kerana menunjukkan padanya pengumpulan Hukum-hakam, Cerita dan
sebagainya. Dan dikatakan juga, kerana ianya mengumpulkan di antara surah-surah
berdalilkan ayat Allah di dalam surah al-Qiyamah, ayat 17 dan 18 :
17. Sesungguhnya Kamilah Yang
berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya
(pada lidahmu);
18. oleh itu, apabila Kami telah
menyempurnakan bacaannya (kepadamu, Dengan perantaraan Jibril), maka bacalah
menurut bacaannya itu;
Ayat 17 menunjukkan al-Jam’u dan
al-Qiraah dan ayat 18 menunjukkan al-Qiraah.
Pengertian daripada sudut Istilah:
Takrifan Qiraat secara istilah telah
mula diperkenalkan oleh Ulama’ Qiraat sekitar tahun 700 H ke atas.. Sebelum
daripada itu, contohnya dalam tahun 300 H hinggalah 700 H, para ulama’ Tafsir,
Ulum Quran dan Qiraat seperti Ibnu Mujahid (324 H), Ibni Khaliwiyyah (370 H),
Abi Ali al-Farisi (377 H), Imam Makki bin Abi Talib (437 H) dan sebagainya,
mereka tidak mengemukakan apa-apa teori berkaitan Ilmu Qiraat dan mereka
menumpukkan Talaqqi dan pembelajaran ilmu al-Quran dan Qiraat ini baik Secara
Riwayah dan juga Dirayah.
Beberapa ulama’ telah mengemukakan
takrifan al-Qiraat secara istilah , antaranya:
Imam Ibnu Hayyan al-Andalusi (745
H), Imam Badruddin al-Zarkhashi (794 H), Imam Shamsuddin Ibnu al-Jazari (833
H), Imam Jalaluddin al-Syuyuthi (911 H), Imam Shihabuddin al-Qistillani (923
H), dan lain-lain.
Secara umum, antara pandangan Ibnu
Jazari contohnya:
“Al-Qiraat itu adalah satu ilmu
berkaitan cara-cara penuturan kalimah al-Quran dan perbezaaannya dengan
( (عزوnisbah (الناقلة )
pembawaannya”.
Unsur-unsur di dalam pentakrifan
ilmu Qiraat.
1. Tauqif
wa al-Naql.
2. Hakikat
perbezaan di antara Qiraat dan Mazahir yang berkaitan dengan perbezaan ini
seperti I’rab, Hazaf, Ithbat, Ibdal dan sebagainya.
3. Cara-cara
penggunaan dan penuturannya.
Perbezaan antara al-Quran dan al-Qiraat.
Para ulama’ Ulum Quran, tafsir dan
Qiraat berselisih pandangan terhadap masalah ini.
Sesetengah daripada mereka
menyatakan bahawa Al-Quran dan al-Qiraat adalah dua perkara yang berbeza. Imam
Al-Zarkhashi menyebutkan:
“Al-Quran dan al-Qiraat adalah dua
hakikat yang berbeza , Al-Quran adalah Wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T
kepada nabi Muhammad S.A.W sebagai penerangan dan mukjizat. Manakala Qiraat
pula merupakan perbezaaan lafaz-lafaz wahyu yang disebut di dalam huruf-huruf
dan cara-cara penuturannya seperti Takhfif dan tasydid dan sebagainya”.
Maka, ilmu Qiraat memerlukan kepada
Talaqqi dan Musyafahah, kerana ianya tidak boleh dihukum melainkan dengan
Al-Sama’ dan al-Musyafahah.
Namun, sebahagian ulama’ Mutaakhirin
pula berpandangan bahawa ia adalah Hakikat yang punyai makna yang sama.
Sebagainya yang dijelaskan, bahawa
Al-quran juga merupakan Masdar yang seerti dengan al-Qiraah. Maka, ia adalah
hakikat yang sama.
Mereka berdalilkan Hadith nabi S.A.W
yang di riwayatkan di dalam Shahih Muslim pada bab (Fadhail al-Quran).
Nabi S.A.W bersabda:
“إن الله
يأمرك أن تقريء أمتك القرآن على سبعة أحرف , فأيما حرف قرأوا عليه فقد أصابوا “
"Sesungguhnya Allah S.W.T
memrintahkanmu (wahai Muhammad) membacakan ke atas umatmu Al-Quran dengan tujuh
Huruf ( wajah), maka mana-mana huruf (wajah) yang mana mereka membacanya, maka
akan diberi ganjaran kepada mereka".
Dr Fadhl Abbas menyatakan:
Maksud perkataan Imam al-Zarkhashi
tersebut adalah daripada sudut Qiraat yang Mutawatir dan tidak Mutawatir,
berdasarkan kepada tulisan di dalam mashaf yang berbeza, pandangan beliau
benar. Sebab itu kita tidak nyatakan bahawa Al-Quran tidak Mutawatir sebagai
sebahagian Qiraat. Al-Quran diturunkan di dalam keadaan mutawatir
keseluruhannya. Manakla sebahagian Qiraat adalah bersifat Ahad dan berbeza
dengan al-Quran, dan kita tidak berbeza mengenai kondisi al-Quran itu
sendiri.
Namun di sana adanya pandangan yang
menyatakan bahawa Qiraat juga merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T,
sebagainya al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya Wahyu itu
diturunkan dengan setiap wajah yang mutawatir yang dibaca melaljui al-Quran.
Contohnya dibacaنشزها ia adalah daripada al-Quran tanpa syak dan jika
dibaca dengan Qiraatننشرها ianya
juga daripada al-Quran. Setiap bacaan daripada Qiraat yang Mutawatir adalah
terikat secara langsung dengan ayat, sebagaimana al-Quran itu dibaca dengan
mana-mana bacaan daripada Qiraat Mutawatir, dan keduanya adalah Wahyu daripada
Allah untuk menerangkan dan menjadi Mukjizat. Contohnya kita membaca dengan Riwayat
Hafs ‘An ‘Asim dan di negara Morocco dibaca dengan riwayat Nafii’, Riwayat
Qalun dibaca di Negara Tunisia, dan di Jazaiir (Algeria) mengamalkan Qiraat
Warsh, maka tidak syak ianya merupakan wahyu daripada Allah S.W.T. Begitu juga
di Somalia, dibaca dengan Qiraat Abu ‘Amru al-Basri juga adalah wahyu daripada
Allah S.W.T.
Qiraat Mutawatir adalah sebahagian
al- Quran dan Juzuk-juzuknya. Qiraat al-Quran itu mengambarkan wahyu yang turun
daripada Allah S.W.T dan setiap Qiraat itu mengambarkan wajah-wajah yang benar
daripada pengamalan al-Quran yang sempurna, sebagaimana diturunkan ke atas nabi
S.A.W. Wallahu’alam…
Perkembangan Ilmu Qiraat.
Terdapat dua pandangan di dalam hal
ini. Pandangan pertama menyatakan bahawa Al-QIraat itu turun di Mekah ketika
awal penurunan al-Quran. Ini kerana sebahagian besar al-Quran adalah surah-surah
al-Makiyyah sehingga dinyatakan melebihi 83 surah telah diturunkan di
Makkah, dan bacaan tujuh huruf tersebut telah diterima oleh nabi S.A.W pada
ketika itu.
Pandangan kedua pula menyatakan
bahawa,Qiraat turun di Madinah setelah penghijrahan Nabi S.A.W ke Madinah
al-Munawarah. Ketika itu, sudah ramai manusia yang memluk agama Islam. Maka,
Qiraat diturunkan sebagai satu bentuk kemudahan kepada mereka.
Secara umumnya, pandangan pertama
adalah lebih rajih.Wallahua’lam…
Pembahagian Qiraat.
Sebagaimana dinyatakan di dalam
kitab "al-Itqan fi Ulum al-Quran", Qiraat daripada sudut
sanad terbahagi kepada 6 bahagian iaitu:
Qiraat Mutawatir:
Qiraat Mutawatir adalah merupakan
Qiraat yang mutawatir daripada rasulullah S.A.W dan disepakati oleh sekumpulan
besar manusia yang sudah tentu mereka tidak akan melakukan penipuan dan
pendustaan terhadap satu-satu bacaan. Contoh adalah Qiraat bagi tujuh imam yang
masyhur yang disebut di dalam matan al-Syatibi oleh Imam al-Syatibi.
Qiraat Masyhur:
QIraat Masyhur adalah Qiraat yang
sah sanadnya,di riwayatkan oleh Qurra’ yang Thiqah dan kuat ingatan, tidak
bersalahan dengan kaedah nahu serta salah satu daripada Rasm Uthmani, Masyhur
dan tidak salah di sisi Qurra’ serta banyak farsh huruf di dalamnya. Hanya
ianya tidak mencapai taraf mutawatir. Contohnya seperti Qiraat tujuh, namun
ianya tidak disepakati dan diriwayat oleh periwayat
yang tidak diriwayat oleh yang lain.
Hasil karangan di dalam Qiraat ini adalah antaranya kitab al-Taisir oleh Imam
al-Dani,al-Qasidah lil Imam al-Syatibi, Au’iyah al-Nasr dan Taqribun al-Nasr
lil Imam Ibnu Jazari dan sebagainya.
Qiraat Ahad:
Qiraat Ahad adalah qiraat yang sah
sanadnya, namun ianya bersalahan dengan kaedah nahu mahupun rRasm Uthmani.
Ianya tidak masyhur dan tidak dibaca. Ianya dibenarkan oleh Imam al-TIrmidhi di
dalam Jami’nya, dan Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan lain-lain.
Contohnya seperti yang telah dikeluarkan oleh al-Hakim daripada jalan ‘Asim
al-Juhdari daripada Abi Bakrah, sesungguhnya Nabi S.A.W membaca:
متكئين على رفارف وعباقرى حسان
Qiraat Syaz:
Qiraat Syaz adalah qiraat yang tidak
sah sanadnya, dan ditulis penulisannya. Contohnya bacaan ملك يوم الين dan إياك يعبد dengan
Bina’ Maf’u.
Qiraat Maudhu’:
Qiraat yang tidak pernah
diriwayatkan dan dinaqalkan, contohnya seperti qiraat Al-Khuzai’ yang
dinaqalkan oleh Abu Qasim al-Huzaili :
إنما
يخشى الله من عباده العلماء
Didhommahkan lafaz al-Jalalah da di
baris fathahkan lafaz Ulama’.
Shibih daripada jenis-jenis Hadith
Mudarraj,
Seperti yang ditambah di dalam
Qiraat dariapda sudut tafsir, seperti QIraat Saad bin Abi Waqas yang dikeluarkan oleh
Saiid bin Mansur :
وله
أخ أو أخت من أم
Begitu juga sebagaimana Qiraat Ibnu
Abbas:
أن
تبتغوا فضلا من ربكم في موسم الحج
Imam Jalaluddin al- Bulqinii
menyatakan:
“ Al-Qiraah itu terbahagi kepada
Mutawatir, Ahad dan Syaz. Maka, Mutawatir itu adalah Qiraat tujuh yang masyhur,
dan Ahad itu adalah Qiraat tiga yang melengkapkan Qiraat tujuh, dan dimaksudkan
juga dengan Qiraat Sahabah. Dan Syaz itu adalah Qiraat Tabiin seperti
al-A’Masyh, Yahya bin Wassab, Ibnu Jabir dan lain-lain”.
Ciri-ciri Qiraat yang Mutawatir dan
Shahih.
Imam Ibnu Jazari menyebutkan pada
permulaan kitabnya, “Al-Nasr”:
“Setiap Qiraah itu hendaklah
mengikut bahasa arab walaupun satu wajah, dan mengikut salah satu daripada
Mashaf-mashaf Uthmani walaupun terdapat Ihtimal, dan sah sanadnya, maka ia
adalah QIraat yang shahih dan tidak harus dipertikaikan. Wajib seluruh manusia
untuk menerimanya, sama ada Qiraat Tujuh yang masyhur, ataupun Qiraat sepuluh,
serta daripada lain-lain mereka yang menerimanya.Jika terlerai salah satu rukun
yang tiga itu maka qiraat tersebut akan jatuh kepada taraf Lemah atau Syaz atau
Batil, sama ada daripada Qiraat yang tujuh ataupun yang lebih besar
daripadanya. Perkara ini adalah benar dan disepakati di sisi seluruh ulama’
salaf dan khalaf, dan antaranya Imam Al-Dani, Imam al-Makki, Al-Mahdawi, da Abu
Syaimah, yang merupakan mazhab salaf yang tidak mengetahui salah seorang
daripada mereka perbezaannya”.
Secara ringkas, 3 ciri-ciri qiraat
yang shahih dan mutawatir melalui kata-kata Imam Ibnu Jazari di atas adalah:
1. Sah
sanadnya.
2. Mengikuti
kaedah nahu walaupun hanya satu wajah.
3. Mengikuti
salah satu Rasm Uthmani walupun terdapat ihtimal di antaranya.
Adakah Tujuh Huruf itu adalah Qiraat
yang tujuh?
Sebahagian orang menganggap bahawa
tujuh huruf yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah merupakan Qiraat
tujuh Imam yang masyhur. Betulkah ?
Terdapat banyak hadith nabi S.A.W
yang menyatakan bahawa al-Quran itu diturunkan dalam tujuh huruf. Antaranya
rasulullah S.A.W bersabda melalui riwayat Ibnu Abbas:
أقراني
جبريل عليه السلام على حرف واحد فراجعته فلم أزل أستزيده حتى انتهى إلى سبعة أحرف
“Jibril A.S telah membaca kepadaku
satu huruf, maka aku kembali kepadanya dan tidak aku tinggalkan bacaan itu, dan
aku meminta untuk menambahkannya sehingga menjadi tujuh huruf”.
Hadith di atas diturunkan ketika
Nabi S.A.W berada di Makkah dan menjadi dalil bahawa nabi mengambil secara
langsung bacaan daripada Jibril A.S.
Sebenarnya, tujuh huruf yang
dimaksudkan di dalam hadith di atas bukanlah Qiraat tujuh sebagaimana tekaan
dan pandangan sesetangah orang yang jahil mengenainya. Ini kerana, tidak
dijumpai bukti yang menunjukkan sebelum tahun 200 Hijrah bahawa para ulama
qiraat telah mengagaskan istilah Qiraat tujuh. Bahkan, QIraat itu sangat banyak
sehingga ada yang mengatakan bahawa ianya mencapai seribu jalan ( Toriq ).
Istilah ini mula diperkenalkan oleh sebahagian ulama’ Qiraat seperti
Abi Ubaid al-Qasim bin Salam, Abi Jaafar al-Thabari, dan Abi Hatim
al-Sajistani pada awal kurun ke 200 hijrah dan pada ketika itu umat
Islam hanya menerima sebahagian daripada jalan-jalan bacaan sahaja.
Antara penerangan yang terbaik
mengenai tujuh huruf ini, adalah pandangan yang telah dikemukakan oleh Imam
Ibnu al-Jazari Rahimahullah iaitu:
1. Baris
yang pelbagai dan tidak melibatkan makna dan bentuk tulisan. Contoh: يحسب .Dibaca
dengan Fathah dan kasrah pada huruf siin.
2. Baris
yang pelbagai dan hanya berubah pada makna sahaja. Contohnya kalimah ءادم / كلمت dibaca
dengan nasab dan kasrah atau sebaliknya.
3. Huruf
yang pelbagai dan hanya berubah pada makna sahaja. تتلوا / تبلوا
4. Huruf
yang pelbagai dan hanya melibatkan perubahan pada bentuk tulisan sahaja.Makna
tidak berubah الصراط / السراط
5. Huruf
dan bentuk tulisan yang pelbagai. يأتل / يتال
6. Taqdim
dan Ta’khir lafaz وقاتلوا / وقتلوا
7. Penambahan
dan pengurangan huruf. ووصى / وأوصى
Qurra’Sepuluh.
1. Imam
Nafii’ al-Madaani ( 70-169 H). Yang meriwayatkan bacaanya adalah Imam Warsh
(110-197 H) dan Imam Qalun (110-120 H).
2. Imam
Ibnu Kathir al-Makki ( 45-120 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam
al-Bazzi (170-250 H) dan Imam Qunbul (195-291 H).
3. Imam
Abu Amru bin al-Ala’ al-Basri (68-154 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah
Imam al-Duri (246 H) dan Imam al-Susi (291 H)
4. Imam
Ibnu Amir al-Syamii (8-118 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Hisham
(153-245 H) dan Imam Ibnu Zakwan (173-242 H).
5. Imam
‘Asim al-Kufi (127 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Syu’bah (95-193
H) dan Imam Hafs (90-180 H)
6. Imam
Hamzah al-Kufi ( 80-156 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Khalaf
(150-229 H) dan Imam Khallad (220 H).
7. Imam
al-Kisaie (119-189 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam al-Laith
al-Baghdadi (240 H) dan Imam Hafs al-Duri (246 H).
8. Imam
Abu Ja’afar al-Madani ( 130 H). yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam ‘Isa
bin Wardan (160 H) dan Imam Ibnu Jammaz (170 H).
9. Imam
Ya’aqub al-Basri (117-205 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Ruwais
(238 H) dan Imam Ruwh (234 H).
10. Imam
Khalaf al-Asyir (150-229 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Ishak
al-Marwazi (286 H) dan Imam Idris al-Haddad (199-292 H).
Penulisan yang masyhur di dalam Ilmu
Qiraat Tujuh.
1. Kitab “al-Tabsiraah” dan
kitab “al-Kasyfu” oleh Imam al-Makki bin Abi Talib.
2. “Kitab
al-Taisir” dan kitab “Jamii’ al-Bayaan” oleh Imam Abi Amru
al-Dani.
3. Kitab “al-Kafi” oleh
Ibnu Syarih.
4. Kitab
Qasidah “Hizr al-Amaani Wa Wajh al-Tahaani” dan termasuk di
dalamnya kitab “Al-Taisir” sebagai Bayaan.
Kesimpulan:
Ini adalah sebahagian daripada
pengenalan asas terhadap ilmu Qiraat, untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut,
pembaca bolehlah merujuk kepada kitab-kitab dan kalam-kalam ulama' Ulum Quran
yang telah membahaska ilmu yang sangat berharga ini. Semoga sisipan ini mampu
memberi sedikit panduan kepada mereka yang ingin mendalami ilmu Qiraat.
Wallahu'alam...
Bibliografi:
1. Al-Quran
al-Karim.
2. Dr
Muhammad Ahmad Jamal, “Al-Wuujuh al-Balaghah Fi Taujih Al-Qiraat Al-Quraaniah
Al-Mutawatirah”, Cet Pertama 1430 h/ 2009 M, Dar al-Furqan.
3. Imam
Jalaluddin Al-Syuyuthi, “Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran”, Cet Pertama
1427 H/2006 M, Dar Al-Hadis al-Qahirah.
4. Imam
Badruddin al-Zarkhashi, “Al-Burhan Fi Ulum al-Quran”, Cet
Pertama 1408 H/ 1988 M, Beirut, Dar Al-Fikr.
5. Imam
al-Zabidi, “Taj Al-‘Arus Min Jawaahir al-Al-Qamus”, Cet tahun 1966, Juz
1, Matba’ah Hukumah Kuwait.
Sumber :
Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi,
Takhassus Qiraat Shoubra, Qahirah, Mesir.
Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi,
Takhassus Qiraat Shoubra, Qahirah, Mesir.
No comments:
Post a Comment